Make your own free website on Tripod.com
 
::Artikel Islam

Pemberi, penerima rasuah di kalangan orang munafik
Oleh Wan Esma Wan Ahmad

PERKATAAN rasuah berasal daripada perkataan arab iaitu ‘al-risywah’. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum ‘batil’ iaitu amalan yang tidak diterima. Perkataan batil ini juga meliputi perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. 

Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulur harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Orang yang memberi atau menerima rasuah adalah pengkhianat. Dia menjadi pengkhianat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam Islam pengkhianat termasuk dalam golongan orang-orang yang munafik. Ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Tanda-tanda munafik itu tiga perkara, pertama apabila seseorang itu bercakap dia sentiasa bohong, apabila berjanji tidak pernah ditunaikan dan apabila diamanahkan mereka khianat.”

Maksud ayat dan hadis di atas amatlah jelas bahawa perbuatan mengambil dan memberi harta daripada atau kepada orang lain dengan cara yang salah iaitu satu perbuatan yang membawa kepada dosa dan boleh membawa kepada kesengsaraan hidup dunia dan akhirat. Di dunia hidup mereka dipandang hina dan dibenci manakala di akhirat pula Allah menjanjikan balasan neraka.

Pada umumnya amalan rasuah terus berlaku walaupun ia ditegah kerana beberapa faktor. Antaranya ialah, inginkan kehidupan lebih mewah dan hidup bergaya. Tidak dapat dinafikan bahawa peredaran zaman telah merubah corak kehidupan dengan pelbagai kemudahan dan kesenangan dari sudut kebendaan. 

Banyak kemudahan seperti kenderaan, tempat tinggal, perhiasan yang menarik hati manusia untuk memilikinya, namun dengan pendapatan yang dimiliki tidak mampu untuk bermewah, lantas peluang yang ada diambil supaya dapat hidup kaya dan dihormati. Mereka seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Benarlah bahawa harta benda dan kemewahan satu tarikan yang menjadi ujian kepada manusia sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 28 yang memberi maksud: 

“Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” 

Rasuah boleh berlaku kepada seseorang individu jika diri individu itu sendiri yang tidak kisah dengan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah. Dengan kata lain tidak mengambil berat atau kurang memberi perhatian tentang ilmu agama. Apabila diri individu itu jahil, dia tidak lagi malu untuk melakukannya. Sedangkan Allah telah menerangkan syariat Islam melalui contoh yang diajarkan oleh Rasulullah ketika melakukan kerja (Muamalah) iaitu bersungguh-sungguh, tidak mengharapkan balasan lain selain dari upah, bersifat dengan sifat amanah, jujur dan sebagainya.

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syari’at dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu…”.

Walaupun seseorang individu itu tahu akan bahaya rasuah namun masih tertipu atau ditipu lantaran lemahnya pendirian. Kedudukan dan pekerjaan adalah satu ujian kerana melaluinya manusia diuji dengan rasuah. Ia membabitkan sejumlah bayaran yang kecil atau besar, hadiah, komisen, perkhidmatan atau pertolongan yang luar dari kuasa kerja yang sepatutnya.

Di sini kekuatan imanlah yang mampu menolak segala jenis umpan rasuah dan ujian. Al-Quran dengan jelas menerangkan ajaran yang patut dilakukan dan diikuti dengan panduan As-Sunnah. Segala bentuk ujian dari segi fizikal dan spiritual disebutkan oleh Allah menerusi firmanNya dalam Surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:

“Dan Dialah yang yang telah mentakdirkan adanya hidup dan mati (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…” 

Sikap amanah bertukar menjadi hipokrit hinggakan lawan dijadikan kawan. Jika hal itu berlaku, imej sesebuah negara itu tercemar di mata dunia dan bukanlah perkara yang mudah untuk dibersihkannya. Tiada guna kemewahan yang dikecapi jika individu itu sanggup menggadaikan maruah diri, pekerjaan dan negaranya jika akibatnya sesebuah negara mampu dibeli oleh pihak musuh lantaran kebocoran maklumat pertahanan negara.

Secara tidak langsung individu itu yang menjadi ibu atau bapa yang menyalurkan hasil pekerjaan secara batil kepada anak-anak dan keluarga. Dengan itu tidak hairanlah, ia boleh melahirkan keluarga yang lemah, dan tidak mengikut acuan Islam. Sebenarnya antara faktor anak tidak menghormati didikan ibu bapa mereka lantaran kerana hasil yang dimakan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

Jika diperhatikan kesan di atas ia bukan hanya membabitkan dirinya bahkan keluarga, agama dan negara. Amat wajarlah undang-undang di dalam sesebuah negara dikuatkuasakan ke atas orang yang melakukan rasuah agar gejala ini tidak menjadi satu beban yang harus dipikul oleh rakyat dan negara. Antaranya menubuhkan Badan Pencegah Rasuah, mewujudkan Biro Pengaduan Awam, pusat-pusat latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) untuk memberi maklumat khusus dan kefahaman Islam kepada anggota perkhidmatan awam. Selaras dengan itu kerajaan telah melancarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam untuk diamalkan.

Jabatan Agama Islam Persekutuan dan Negeri juga telah banyak memainkan peranan untuk menangani amalan rasuah melalui dakwah-dakwah yang disebarkan menerusi media elektronik dan cetak. Kursus Penghayatan Islam dan nilai murni antara yang difikirkan kursus yang amat perlu dalam pentadbiran kerajaan. Dengan terlancarnya program ini sejak tahun 1982 dapat membantu kakitangan dalam menjalankan tugas dengan sempurna tanpa membabitkan rasuah. 

Galakan supaya menambahkan ilmu agama melalui pembacaan, pendengaran atau mengikuti kuliah agama serta berusaha penuh keimanan akan dapat mengelakkan diri dari gejala rasuah. Bersegeralah bertaubat jika kita melakukan kesalahan tanpa pengetahuan tetapi janganlah mencuba untuk menipu dari pandangan Allah. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 4 yang bermaksud;

“Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.” – Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
 
 

Balik
Hakcipta © demimasa.cjb.net 2004