Make your own free website on Tripod.com
 
::Berita Nasyid...

Kumpulan Raihan




5 soalan bersama Raihan: Kalau perlu Raihan akan berhijrah
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
29 March 2004

1. APAKAH yang cuba Raihan sampaikan menerusi kerjasama dengan penyanyi rock terkenal, Awie untuk lagu Dari Tuhan sedangkan banyak lagi lagu yang berunsurkan ketuhanan, tentu ada sesuatu yang istimewa dalam lagu itu?

Sebelum memilih Dari Tuhan, Raihan ada meneliti beberapa lagi lagu yang mempunyai mesej yang sama. Bagaimanapun, Raihan lebih tertarik kepada lagu Dari Tuhan kerana ia adalah lagu rock tetapi membawa mesej yang begitu baik. Tambahan pula, lagu ini tidak banyak dipromosikan ketika album Wings, Belenggu Irama dipasarkan dulu. Jadi adalah wajar kami mengambil inisiatif ini kerana ia dapat membantu mengetengahkan lagu yang baik kepada peminat. Secara tidak langsung, Raihan ingin memberitahu peminat bahawa lagu yang berunsur keagamaan bukan datang dari genre nasyid semata- mata. Sebaliknya, genre muzik lain juga membawa aliran itu.

2. Adakah Raihan berhadapan dengan sebarang masalah ketika merakamkan lagu Dari Tuhan bersama Awie memandangkan penyanyi itu datang daripada genre muzik rock, sedangkan Raihan cukup sinonim dengan irama nasyid?

Tiada sebarang masalah besar terutama bagi Awie untuk menyesuaikan diri dengan Raihan. Kami melihat gabungan ini sebagai kombinasi yang baik antara Raihan dan Awie walaupun diberi susunan baru. Alhamdulillah, kami mendapat kebebasan dan Awie juga banyak memberi idea ketika proses rakaman. Harapan Raihan, rakaman baru ini dapat diterima peminat Awie dan Wings.

3. Selain Awie, album ini juga mengundang penyanyi veteran, S Jibeng untuk bergabung tenaga menerusi lagu Takwa dan Iman. Persoalannya, tidakkah Raihan berasa terkilan kerana tidak dapat bekerjasama dengan penyanyi asal lagu itu iaitu Ahmad Jais?

Insya-Allah tidak kerana sebagai manusia Raihan hanya mampu merancang. Tetapi, yang menentukan semua adalah Allah. Tidak ada apa yang membuat kami terkilan. Hanya itu yang dapat kami katakan.

4. Dengan rakaman semula lagu, Dari Tuhan, apakah Raihan rasa sudah tiba untuk kumpulan ini mencipta pembaharuan memandangkan ketika ini, banyak kumpulan nasyid cenderung merakamkan lagu yang bercorak komersial?

Raihan cuba melakukan sesuatu berdasarkan keperluan. Hasrat kami ialah menyentuh hati peminat dengan lagu berbentuk nasihat menggunakan landasan muzik. Tanggungjawab kami ialah supaya peminat tidak leka. Kami cuba seimbangkan antara nilai komersial sesuatu lagu dan mesej yang cuba disampaikan. Memang sejak dulu lagi, niat Raihan ialah menyalurkan mesej. Muzik pula sebagai jalan untuk menyampaikan mesej itu. Keseronokan muzik memang tiada penghujung, tetapi Raihan menapisnya dengan menetapkan landasan. Keperluan kami adalah untuk memberi kesedaran kepada pendengar.

5. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, fokus Raihan nampaknya lebih tertumpu kepada peminat di negara luar. Tidakkah di hati terdetik untuk berhijrah ke luar negara bagi mengembangkan lagi sayap Raihan?

Pengalaman di luar negara banyak membantu Raihan untuk melihat perjalanan kehidupan peribadi, di samping pembangunan kerjaya kami sendiri. Pernah juga kami terfikir untuk berhijrah. Namun, apa yang dapat dikatakan kalau perlu, barangkali Raihan akan berhijrah. Penghijrahan itu adalah dari sudut positif. Bukan kerana tidak diterima lagi di sini, sebaliknya Raihan ingin pergi lebih jauh di samping memperluaskan syariah Islam menerusi medium seni.
 

 

Kembali ke Laman Nasyid
Hakcipta © demimasa.cjb.net 2004