Make your own free website on Tripod.com
 
::Berita Nasyid...
 

Lagu rock - Waheeda sedia dikritik

PENERBIT album Waheeda, Yasin (kiri) bersama David Teo (dua dari kiri) 
dan Cheah Su Kong (kanan) pada majlis penyampaian 
Anugerah Platinum Berkembar album Wassini.


Lagu rock - Waheeda sedia dikritik
Oleh Abd. Aziz Itarad

Waheeda memang dikenali ramai kerana menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan irama world music. Walau bagaimanapun, penyanyi yang sopan bertudung ini telah mengejutkan para peminatnya apabila dia tampil dengan sebuah lagu rock.
Waheeda membuat kejutan itu apabila dia menerima undangan berduet bersama kumpulan Giegiel menerusi sebuah lagu rock berjudul Mencari.
Lagu tersebut dimuatkan menerusi album kedua Giegiel berjudul Eksklusif yang akan berada di pasaran mulai 20 April ini.
Biar apa pun tanggapan ramai, Waheeda ada sebab tersendiri menyanyikan lagu itu. Menurut Waheeda, dia sudah lama menantikan peluang itu dan menganggapnya sebagai satu penghargaan dalam kariernya sebagai penyanyi.
``Sebenarnya, saya sudah lama menyimpan impian untuk menyanyikan lagu rock. Ini kerana, saya memang meminati muzik rock.
``Kumpulan Korn (dari Amerika Syarikat) adalah antara kumpulan rock kegemaran saya. Saya anggap undangan berduet dengan Giegiel itu satu penghargaan kepada saya,'' kata Waheeda kepada Utusan Malaysia.
Waheeda berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Platinum Berkembar penjualan album sulungnya berjudul Wassini yang dijual melebihi 50,000 unit di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, David Teo sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Cheah Su Kong.
Tambah Waheeda, dia bersedia menerima kritikan daripada para peminat termasuk khalayak ramai dan wartawan hiburan kerana percubaannya itu.
``Saya sudah bersedia menghadapi kritikan kerana menyanyikan lagu rock bersama Giegiel.
``Bagi saya, walaupun saya bertudung tetapi itu bukan penghalang kepada saya untuk menyanyikan lagu rock.
``Itu adalah antara cara saya untuk approach banyak golongan termasuk para peminat muzik rock. 
``Saya rasa ia tidak salah kerana ia bukan sesuatu yang melampaui batas.
``Walaupun Mencari adalah sebuah lagu rock tetapi lirik lagu itu baik dan mempunyai mesej yang tersendiri,'' ujar Waheeda.
Pada majlis itu, Waheeda dan Giegiel sempat menyampaikan lagu tersebut secara live.
Selain lagu itu, Waheeda turut menyanyikan lagu Wassini termasuk lagu Panggilan yang dipetik daripada album keduanya.
 

Sumber Berita Harian
 
 

 

Kembali ke Laman Nasyid
Hakcipta © demimasa.cjb.net 2004